Sifat zuhud | Killjols Sifat zuhud | Killjols
Get Update Everyday Like Our FB Pages

Monday

HAHAHA HAHAHA HAHAHA HAHAHA HAHAHA
Chord List: # | A | B | C | D | E | F | G | H | I | J | K | L | M | N | O | P | Q | R | S | T | U | V | W | X | Y | Z : TOP 10

Sifat zuhud



Secara terminologi, ‘zuhud’ ialah mengarahkan keinginan kepada Allah SWT, menyatukan kemahuan kepadaNya dan sibuk denganNya berbanding kesibukan duniawi agar seseorang zahid (orang yang berperilaku zuhud) itu dipimpin oleh Allah SWT untuk mencapai keredhaanNya.

Zuhud dari sudut bahasa bererti berpaling dari sesuatu kerana hinanya sesuatu tersebut dan kerana (seseorang) tidak memerlukannya. Dalam bahasa Arab terdapat ungkapan ‘syaiun zahidun’ yang bermaksud ‘sesuatu yang rendah dan hina’.

Allah SWT berfirman: “Mereka menjual Yusuf dengan harga murah, beberapa dirham sahaja, sedang mereka itu orang yang zuhud (kurang suka) kepadanya." (QS Yusuf: 21)

Al-Junaid al-Baghdadi mengatakan: “Zuhud adalah ketika tangan tidak memiliki apa-apa pun dan pengosongan hati daripada cita-cita.” Di sini seorang sufi tidak memiliki sesuatu yang berharga melainkan Tuhan yang dirasakannya dekat dengan dirinya. Yahya ibn Mu’adh pula mengatakan bahawa zuhud adalah ‘meninggalkan apa yang mudah ditinggalkan’. Seorang sufi meninggalkan harta benda dan kemewahan duniawi untuk mencapai keredhaan Tuhan yang dicintai.

Menurut Imam al-Ghazali, hakikat zuhud adalah “meninggalkan sesuatu yang dikasihi dan berpaling daripadanya kepada sesuatu yang lain yang terlebih baik daripadanya kerana menginginkan sesuatu di dalam akhirat.” Manakala Ibn Taimiyah pula mengatakan bahawa zuhud itu bererti 'meninggalkan apa-apa yang tidak bermanfaat untuk kepentingan akhirat'.

Sifat zuhud membangkitkan semangat spiritual yang tinggi. Ianya membawa zahid kepada sifat kehambaan yang sarat dengan kecintaan dan keredhaan Allah SWT. Maka, kebiasaannya seorang zahid akan menahan jiwanya daripada pelbagai bentuk kenikmatan dan kelazatan hidup duniawi, menahan daripada dorongan nafsu yang berlebihan agar memperoleh kebahagiaan yang abadi. Seorang zahid juga menepis apa sahaja yang menghalangnya untuk memperoleh rahmat dan keredhaan Allah SWT. Kecintaan kepada Tuhan mengalahkan segala alternatif yang mendorong kepada hubb al-shahwat (cinta untuk menuruti hawa nafsu).

Hasan al-Basri seorang tokoh sufi zaman awal Islam pernah mengatakan: “Jauhilah dunia ini kerana ia sebenarnya sama dengan ular; licin pada rasa tangan tetapi racunnya membunuh.” Pelbagai polemik telah terjadi dalam membincangkan kepentingan zuhud sehingga ada yang memandangnya sebagai hal yang bersifat ukhrawi sehingga ada yang menghadkan segala aktivitinya berhubung dengan akhirat semata-mata. Bahkan ada juga yang melihat zuhud sebagai kehidupan fakir dengan memakan makanan kasar (yakni tidak mementingkan kesihatan) atau memakai pakaian usang dan kasar.

Zuhud sebenarnya bukanlah mengharamkan yang halal atau sebaliknya, dan juga bukan membenci nikmat duniawi tetapi ia adalah perisai agar tidak terpesong dari ajaran Islam yang sebenarnya. Ulama salaf seperti Sufyan at-Thauri, Imam Ahmad ibn Hanbal, ‘Isa ibn Yunus dan lain-lainnya menegaskan bahawa zuhud di dunia bererti ‘membataskan angan-angan dan keinginan’.

Perkataan zuhud sering disebut-sebut ketika kita mendengar nasihat dan seruan agar mengekang ketamakan terhadap dunia dan mengejar kenikmatannya yang fana dan pasti binasa, dan agar jangan melupakan kehidupan akhirat yang hakiki. Hal ini sebagaimana peringatan Allah SWT tentang kehidupan dunia yang penuh dengan tipu daya dan berbagai keindahan yang melalaikan.

Firman Allah SWT: “Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhaanNya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.” (QS Al-Hadid: 20)

Ayat ini menunjukkan bahawa kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang menipu, palsu, dan sekadar permainan. Yang dimaksudkan ‘sekadar permainan’ adalah sesuatu yang tiada bermanfaat dan melalaikan. Ayat ini juga menunjukkan bahawa dunia adalah perhiasan, dan orang-orang yang mencintai dunia menjadikannya sebagai perhiasannya dan tempat untuk saling bermegah-megahan dengan kenikmatan yang ada padanya berupa anak-anak, harta-benda, kedudukan dan yang lainnya sehingga lalai dan lupa beramal untuk bekalan akhirat. Allah SWT juga menyerupakan kehancuran dunia dan kefanaannya yang begitu cepat dengan hujan yang turun ke permukaan bumi. Ia menumbuhkan tanaman yang menghijau lalu kemudian berubah menjadi layu, kering dan pada akhirnya mati. Demikianlah kenikmatan dunia, yang kelak pasti akan binasa.

Maka barangsiapa mengambil pelajaran dari permisalan yang disebutkan di atas, akan menyedari bahawa dunia ibarat ais yang semakin lama semakin mencair dan pada akhirnya akan hilang. Sedangkan segala apa yang ada di sisi Allah SWT adalah lebih kekal, dan akhirat itu lebih baik dan utama sebagaimana lebih indah dan kekalnya permata dibandingkan dengan ais. Apabila seseorang mengetahui dengan yakin akan perbezaan antara dunia dan akhirat serta dapat membandingkan antara keduanya, maka akan timbul tekad yang kuat untuk mencapai kebahagiaan di akhirat.

Dalam pandangan Ibn ‘Ata’illah, zuhud ada 2 macam. Pertama, Zuhud Zahir Jali seperti zuhud dari perbuatan berlebih-lebihan dalam perkara halal seperti makanan, pakaian, dan hal lain yang tergolong dalam perhiasan duniawi. Kedua, Zuhud Batin Khafi seperti zuhud dari segala bentuk kepemimpinan, kecintaan pada penampilan zahir, dan juga berbagai hal maknawi yang terkait dengan keduniaan.

Imam Hasan Al-Basri menyatakan bahawa zuhud itu bukanlah mengharamkan yang halal atau menyia-nyiakan harta, akan tetapi “zuhud di dunia adalah engkau lebih mempercayai apa yang ada di tangan Allah SWT daripada apa yang ada di tanganmu. Keadaanmu antara ketika tertimpa musibah dan tidak adalah sama saja, sebagaimana sama saja di matamu antara orang yang memujimu dengan yang mencelamu dalam kebenaran.”

Di sini zuhud ditafsirkan dengan tiga perkara yang semuanya berkaitan dengan perbuatan hati. Bagi seorang hamba yang zuhud, apa yang ada di sisi Allah SWT lebih dia percayai daripada apa yang ada di tangannya sendiri. Hal ini timbul dari keyakinannya yang kuat dan lurus terhadap kekuasaan Allah SWT. Abu Hazim az-Zahid pernah ditanya: “Berupa apakah hartamu?” Beliau menjawab: “Dua macam. Aku tidak pernah takut miskin kerana percaya kepada Allah SWT, dan tidak pernah mengharapkan apa yang ada di tangan manusia.” Kemudian beliau ditanya lagi: “Engkau tidak takut miskin?” Beliau menjawab, “(Mengapa) aku harus takut miskin, sedangkan Tuhanku adalah pemilik langit, bumi serta apa yang berada di antara keduanya.”

Apabila terkena musibah, baik itu kehilangan harta, kematian anak atau yang lainnya, dia lebih mengharapkan pahala kerananya daripada mengharapkan kembalinya harta atau anaknya tersebut. Hal ini juga timbul kerana keyakinannya yang sempurna kepada Allah SWT. Baginya orang yang memuji atau yang mencelanya ketika ia berada di atas kebenaran adalah sama saja. Kerana kalau seseorang menganggap dunia itu besar, maka dia akan lebih memilih pujian daripada celaan. Hal itu akan mendorongnya untuk meninggalkan kebenaran kerana khuatir dicela atau dijauhi (oleh manusia), atau boleh jadi dia melakukan kebatilan kerana mengharapkan pujian. Jadi, apabila seorang hamba telah menganggap bahawa kedudukan antara orang yang memuji atau yang mencelanya adalah sama, ianya menunjukkan bahawa kedudukan makhluk di hatinya adalah rendah, dan hatinya dipenuhi dengan rasa cinta kepada kebenaran.

Hakikat zuhud itu berada di dalam hati, iaitu dengan keluarnya rasa cinta dan ketamakan terhadap dunia dari hati seorang hamba. Ia jadikan dunia (hanya) di tangannya, sementara hatinya dipenuhi rasa cinta kepada Allah SWT dan akhirat.

Zuhud bukan bererti meninggalkan dunia secara keseluruhan dan menjauhinya. Lihatlah Rasulullah SAW, teladan bagi orang-orang yang zuhud, Baginda mempunyai sembilan isteri. Demikian juga Nabi Daud AS dan Nabi Sulaiman AS, raja mempunyai kekuasaan yang besar sebagaimana yang disebutkan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran. Para sahabat, juga mempunyai isteri-isteri dan harta, malah ada di antara mereka yang kaya-raya. Semua ini tidaklah mengeluarkan mereka dari hakikat zuhud yang sebenarnya.

Imam Al-Ghazali memberikan tiga cara untuk melaksanakan zuhud: Pertama, memaksa diri untuk mengendalikan hawa nafsunya. Kedua, sukarela meninggalkan kecintaan terhadap dunia kerana dipandang kurang penting. Ketiga, tidak merasakan zuhud sebagai beban, kerana dunia dipandang tiada nilai bagi dirinya.

Ibrahim bin Adham pernah ditanya seorang lelaki: “Bagaimana cara engkau mencapai makam orang zuhud?” Ibrahim menjawab: ”Dengan tiga hal. Pertama, aku melihat kuburan itu sunyi dan menakutkan, sedang aku tidak menemui orang yang dapat mententeramkan hatiku di sana. Kedua, aku melihat perjalanan hidup menuju akhirat itu amat jauh, sedang aku tidak memiliki cukup bekal. Ketiga, aku melihat Tuhan Yang Maha Kuasa menetapkan satu keputusan atasku, sedang aku tidak mempunyai alasan untuk menolak keputusan itu.”

Hakikat zuhud adalah menyingkirkan apa apa yang semestinya disenangi dan diinginkan oleh hati, kerana yakin ada sesuatu yang lebih baik untuk meraih makam yang tinggi di sisi Allah SWT.

Syeikh Abdul Samad Al-Falimbani mengatakan bahawa terdapat rukun kezuhudan, iaitu meninggalkan sesuatu kerana menginginkan sesuatu yang lebih baik lagi; meninggalkan keduniaan kerana mengharapkan akhirat; dan meninggalkan segala sesuatu selain Allah SWT kerana mencintaiNya.

Ada satu kisah seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Haritsah. Nabi SAW bertanya: "Bagaimana kamu hari ini, wahai Haritsah?" Dia menjawab: "Aku sungguh beriman, ya Rasulullah." "Apa buktinya?", tanya Nabi SAW. Dia menjawab: "Aku telah memalingkan jiwaku dari dunia ini. Itulah sebabnya di siang hari aku haus (berpuasa) dan di malam hari aku berjaga, dan rasa-rasanya aku melihat Arasy Tuhanku menghampiriku, dan para penghuni syurga sedang bersuka ria dan para penghuni neraka sedang menangis." Nabi SAW lalu bersabda: "Itulah seorang mukmin yang hatinya telah dibukakan Allah. Engkau telah tahu Haritsah, maka jangan lupa."

Imam Ahmad Ibnu Hanbal mengklasifikasikan tingkatan zuhud kepada tiga tingkatan, iaitu:

1. Zuhud orang biasa, iaitu meninggalkan hal-hal yang haram

2. Zuhud orang orang yang khawas (khusus), iaitu meninggalkan hal yang berlebih-lebihan meskipun ianya halal.

3. Zuhud orang Arif, iaitu meninggalkan segala sesuatu yang dapat memalingkan seseorang dari mengingati Allah.

Imam Al-Ghazali pula membahagikan zuhud kepada tiga tingkatan iaitu:

1. Tingkat terendah adalah menjauhkan dunia agar terhindar dari hukuman di akhirat

2. Tingkat kedua adalah mereka yang menjauhi dunia kerana ingin mendapatkan imbalan di akhirat

3. Tingkat tertinggi adalah zuhud yang ditempuh bukan lagi kerana takut (khauf) atau harap (raja’), tapi semata-mata kerana cinta kepada Allah SWT.

Zuhud tingkat pertama adalah zuhud orang awam, zuhud tingkat kedua adalah zuhud para Salik yang soleh dan tingkat terakhir ini hanya dapat dimiliki oleh orang orang yang lebih khusus atau khawas al-khawas iaitu para Sufi yang telah mencapai tahap tertinggi dalam pengabdian kepada Allah SWT.

Antara sebab yang mendorong seseorang hidup zuhud ialah:

1. Keimanan yang kuat dan selalu ingat bagaimana kelak ia berdiri di hadapan Allah SWT pada hari kiamat dan diperlihatkan segala amalnya, yang besar mahupun yang kecil, yang nampak ataupun yang tersembunyi. Hal itu akan memudarkan kecintaannya terhadap dunia dari hatinya, kemudian meninggalkannya dan akhirnya merasa cukup dengan kehidupan sederhana.

2. Merasakan bahawa dunia itu membuat hatinya terganggu dalam berhubungan dengan Allah SWT, dan menjadikannya merasa jauh dari kedudukan yang tinggi di akhirat kelak, di mana dia akan ditanya tentang kenikmatan dunia yang telah ia peroleh, sebagaimana firman Allah SWT: “Kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan (yang kamu megah-megahkan di dunia itu).” (QS At-Takaatsur: 6) Perasaan seperti ini akan mendorong seorang hamba untuk hidup zuhud.

3. Kenikmatan dunia hanya akan dicapai dengan susah payah dan kerja keras, mengorbankan masa, tenaga dan fikiran, dan kadang-kadang terpaksa bergaul dengan orang-orang yang berperangai jahat dan buruk. Berbeza halnya jika menyibukkan diri dengan berbagai macam ibadah; jiwa menjadi tenteram dan hati merasa sejuk, menerima takdir Allah SWT dengan sabar, ditambah dengan balasan baik di akhirat. Dua hal di atas jelas berbeza dan tentunya ia akan memilih yang lebih baik dan kekal.

4. Merenungkan ayat-ayat Al-Quran yang banyak menyebutkan tentang kehinaan dan kerendahan dunia serta kenikmatannya yang menipu (manusia). Dunia hanyalah tipu daya, permainan dan kesia-siaan. Allah SWT mencela orang-orang yang mengutamakan kehidupan dunia yang fana ini daripada kehidupan akhirat, sebagaimana dalam firmanNya: “Adapun orang yang melampaui batas, dan lebih mengutamakan kehidupan dunia, maka sesungguhnya nerakalah tempat tinggal(nya).” (QS An-Naaziat: 37~39)

Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman: “Tetapi kamu memilih kehidupan duniawi. Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.” (QS Al-A’laa: 16-17)

Semua dalil-dalil, baik dari Al-Quran mahupun hadis Rasulullah SAW, mengingatkan seseorang yang beriman untuk tidak terlalu bergantung kepada dunia dan lebih mengharapkan akhirat yang lebih baik dan lebih kekal.

Makam zuhud tidak dapat dicapai jika dalam hati seseorang masih terdapat rasa cinta kepada dunia, dan hasad dengki kepada manusia yang diberi kenikmatan duniawi. Ibn ‘Ata’illah pernah berkata: “Cukuplah kebodohan bagimu jika engkau hasad (dengki) kepada mereka yang diberi kenikmatan dunia. Namun, jika hatimu sibuk dengan memikirkan kenikmatan dunia yang diberikan kepada mereka, maka engkau lebih bodoh daripada mereka. Kerana mereka hanya disibukkan dengan kenikmatan yang mereka dapatkan, sedangkan engkau disibukkan dengan apa yang tidak engkau dapatkan.”

Inti dari zuhud adalah keteguhan jiwa, iaitu tidak merasa bahagia dengan kenikmatan dunia yang dinikmati, dan tidak bersedih dan putus asa atas kenikmatan dunia yang hilang atau tidak dapat dicapai.

Wallahua’lam.
Like this post :



Killjols Blog

Blogger , Guitar Chord Collection , Lyric Collection , Lyric video maker ,

No comments :

Post a Comment